Pages

Search This Blog

EKONOMI Makanan laut dieksport semula ke EU tahun depan

MALAYSIA dijangka dapat mengeksport semula produk makanan lautnya ke negara Kesatuan Eropah (EU) awal tahun depan selepas segala urusan untuk memenuhi piawaian eksport pihak terbabit diselesaikan. Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, berkata Malaysia sudah mengambil langkah perlu untuk memenuhi segala tuntutan EU berhubung perkara itu, malah pengeksport juga meningkatkan tahap kualiti mereka seperti yang dikehendaki EU. Beliau berkata, pihak EU sebelum ini ada menyatakan hasrat untuk datang ke Malaysia bulan ini bagi mengaudit semula perkara berkenaan.
“Bagaimanapun, kita minta mereka tangguhkan dulu perkara itu kerana mahu pastikan semuanya benar-benar mematuhi kehendak mereka. Mungkin, Januari nanti baru kita boleh lakukannya,” katanya di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), kelmarin. Beliau berada di Dubai bagi mengetuai rombongan Jabatan Perikanan, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Fama) dan Pertubuhan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) bagi meninjau peluang pemasaran produk perikanan dan pertanian Malaysia ke rantau Asia Barat. Malaysia sebelum ini secara suka rela menarik diri daripada senarai pengeksport produk makanan laut ke EU selepas pihak terbabit tidak berpuas hati dengan cara pengendalian produk eksport negara yang dikatakan tidak mematuhi standard yang ditetapkan oleh EU.
Eksport produk makanan laut Malaysia ke EU bernilai RM600 juta setahun. Ahamad Sabki berkata, Malaysia yang kini giat membangunkan perusahaan dan industri perikanan perlu mengenal pasti pasaran eksport baru untuk produk terbabit bagi mengelakkan pasaran tempatan terjejas akibat lebihan penawaran. Beliau berkata, produk perikanan negara ketika ini sudah memiliki lebihan penawaran bernilai RM400 juta. “Jika tidak meneroka pasaran eksport baru, dijangkakan lebihan penawaran produk perikanan negara akan mencapai RM4.1 bilion menjelang 2010,” katanya.
Sementara itu, Ahamad Sabkti berkata, Jabatan Perikanan sedang berusaha untuk menjalin kerjasama dengan beberapa wilayah kecil di UAE sebagai usaha untuk menerokai pasaran eksport produk perikanan dan pertanian tempatan ke rantau Asia Barat. Katanya, langkah itu dilihat sebagai lebih sesuai untuk produk baru hendak memasuki UAE yang dianggap pintu gerbang ke Asia Barat berbanding menerusi Dubai yang disifatkan terlalu kompetitif dan sukar untuk ditembusi kerana sudah memiliki rangkaian kukuh dengan pengeksport lain. Katanya, berbanding Dubai yang menjadi tumpuan semua negara yang ingin memasuki pasaran UAE, wilayah kecil negara itu lebih mudah untuk diterokai kerana kurang persaingan selain permintaan eksportnya juga lebih kecil berbanding Dubai. Beliau berkata, ia juga bersesuaian dengan keupayaan Malaysia kerana setakat ini, yang mengeksport produk pertanian dan perikanan dalam kuantiti kecil kerana baru saja memulakan usaha agresif ke arah itu selepas memenuhi keperluan domestik. “Menerusi kerjasama dengan beberapa wilayah itu, kita akan secara beransur-ansur memasuki pula Dubai dan seterusnya ke negara Asia Barat yang lain,” katanya. Ras Al Khaimah yang mempunyai penduduk seramai kira-kira 240,000 adalah sebuah daripada tujuh wilayah yang membentuk UAE.

Berita harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia