Pages

Search This Blog

Jumlah pinjaman lebih tinggi

KANGAR 13 Feb. - Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (TEKUN Nasional) yakin jumlah pinjaman perniagaan yang akan dikeluarkannya tahun ini jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu yang berjumlah RM400 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata, ini kerana ramai yang mahu berniaga untuk menambah pendapatan ekoran kemelesetan ekonomi dunia.

Beliau berkata, selain itu, pemberhentian pekerja terutama di kilang-kilang turut menarik perhatian mereka yang terlibat untuk mendapatkan pinjaman perniagaan.

"Berdasarkan kedudukan semasa, kami meluluskan pinjaman RM52 juta sepanjang Januari.

"Jika jumlah itu menjadi angka purata setiap bulan, bermakna tahun ini pinjaman yang bakal dikeluarkan ialah RM624 juta.

"Jumlah RM624 juta ternyata lebih besar berbanding RM400 juta yang diluluskan tahun lalu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penerangan Peluang-Peluang Perniagaan, Penjanaan Pendapatan dan Pembiayaan TEKUN Nasional di sini, semalam yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya telah mengagihkan pinjaman perniagaan berjumlah RM92 juta kepada kira-kira 1,000 usahawan bumiputera di seluruh negara bulan lalu.

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM52 juta adalah permohonan yang diluluskan sepanjang Januari manakala bakinya merupakan pinjaman yang diluluskan hujung tahun lalu.

Beliau berkata, peminjam terbabit terdiri daripada kalangan bumiputera yang mahu memulakan perniagaan atau membesarkan lagi saiz perniagaan sedia ada.

"Mereka terdiri daripada usahawan peruncitan dan perdagangan perkhidmatan, pertanian, penternakan dan akuakultur, pembinaan, borong, pelancongan atau rekreasi, pendidikan dan pengangkutan,'' katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia