Pages

Search This Blog

Kursus industri asas tani

Bagi melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang pertanian, Jabatan Pertanian telah memperkenalakn Kursus Keusahawanan Kemahiran Pemprosesan Makanan sejak tahun 2002.
Ini bertujuan melahirkan usahawan muda yang berminat menceburkan diri secara serius dalam perniagaan asas tani seperti makanan sejuk beku, bakeri, produk berasaskan kelapa dan buah-buahan.
Kursus berkenaan dijalankan secara hands-on bagi memastikan peserta mendapat pengetahuan dan mahir dari segi teknikal pengeluaran produk yang bermutu, komersial dan menepati standard GMP (Amalan Pengilangan Yang Baik).
Semasa kursus, peserta juga akan didedahkan dengan kaedah menjalankan perniagaan secara profesional meliputi aspek keusahawanan, pengurusan kewangan, pengurusan pemasaran dan penyediaan Rancangan Perniagaan.
Selepas tamat kursus peserta akan menjalani program bimbingan di premis usahawan berjaya di bawah bimbingan Jabatan Pertanian.
Pengambilan peserta dibuat setahun sekali dengan jangka masa kursus selama enam bulan bermula pada 10 Februari hingga 7 Ogos 2009.
Peserta yang terpilih perlu tinggal di tempat yang disediakan sepanjang tempoh kursus dan peserta akan diberikan elaun kursus.
Peserta yang berminat perlu memenuhi syarat yang ditetapkan seperti warganegara Malaysia, berumur antara 20 hingga 40 tahun, jantina lelaki dan perempuan.
Berkelulusan sekurang-kurangnya SPM/SPMV, tinggal di asrama sepanjang tempoh kursus, sihat tubuh badan dan berminat untuk meneruskan projek selepas tamat kursus.
Mereka yang berminat mengikuti kursus boleh mendapatkan borang permohonan melalui:
Bahagian Pengembangan, Perundingan, Pelaburan dan Industri Asas Tani
Jabatan Pertanian
Wisma Tani, Aras 8, No. 30, Persiaran Perdana
Presint 4
62624 Putrajaya.
Tel: 88703553/3544 (Aiza Hayati Md. Noh, Rafidah Ibrahim atau Zaharina Hassan). Mereka juga boleh menghubungi Jabatan Pertanian Negeri atau Pejabat Pertanian Daerah berhampiran atau melalui laman web www.doa.gov.my.
Permohonan akan ditutup pada 30 Oktober 2008.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia