Pages

Search This Blog

Timur: RM1.2j jana akuakultur di Pahang

KUANTAN: Jabatan Perikanan meluluskan peruntukan RM1.2 juta kepada 92 individu yang terbabit dalam bidang akuakultur termasuk penternak kecil di negeri ini, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Junaidi Che Ayub. Beliau berkata, peruntukan berkenaan dijangka mampu menjana tambahan pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan kepada penternak terbabit. Menurutnya, peruntukan khusus yang disediakan kerajaan itu bagi membantu meringankan beban mereka yang menjalankan kegiatan akuakultur, selain golongan yang menceburi aktiviti penternakan.
Katanya, ini kerana berlaku peningkatan harga input akuakultur seperti makanan ikan, benih ikan dan bahan kimia selepas kenaikan harga bahan api, Jun lalu. "Kemelut kenaikan harga bahan api Jun lalu, memberi kesan serius kepada penternak yang berhadapan dengan pelbagai masalah. "Tinjauan Jabatan Perikanan mendapati kenaikan harga input akuakultur berlaku sehingga 30 peratus dan keadaan ini menjejaskan tumpuan golongan penternak dan pengusaha akuakultur peringkat ladang," katanya di sini kelmarin.
Junaidi berkata, kenaikan harga input akuakultur menyebabkan kadar keuntungan hasil akuakultur akan mengecil dan bagi mengurangkan bebanan golongan berkenaan, kerajaan melaksanakan Dasar Jaminan Makanan Nasional (DJMN). Beliau berkata, dalam pelaksanaan DJMN, tumpuan diberikan kepada program pemulihan kolam terbiar dan bantuan disalurkan kepada pengusaha kecil luar bandar yang mengalami masalah modal bagi tujuan pembaikan dan pemulihan kolam. Katanya, antara bantuan yang disediakan menerusi program DJMN itu termasuk pembaikan struktur kolam, sistem saliran, bantuan input akuakultur dan peralatan ternakan yang berkaitan. Menurutnya, seramai 33 individu di negeri ini menerima bantuan berkenaan berjumlah RM680,000, manakala peruntukan sebanyak RM743,000 disediakan untuk mereka yang mengusahakan projek pengeluaran benih ikan.
"Jabatan Perikanan juga berharap dengan kewujudan kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan iaitu Zon Industri Akuakultur di beberapa kawasan di negeri ini, berupaya menarik perhatian sektor swasta menceburi bidang berkenaan. "Selain itu, projek ternakan udang di Kampung Tanjung Batu, Pekan bernilai RM20.5 juta dan ternakan ikan laut di Kampung Cherok Paloh serta Pulau Permatang Pauh, Pekan bernilai RM33.5 juta yang akan siap sepenuhnya pada 2010 mampu memberi keuntungan kepada semua pihak," katanya

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia