Pages

Search This Blog

Zon pengeluar udang terbesar


JITRA 17 Dis. - Projek ternakan udang berusia 15 tahun di Kerpan di sini mendapat nafas baru apabila menerima suntikan pelaburan sebanyak RM50 juta daripada sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), Blue Archipelago Berhad (Blue Archipelago) yang mula mengambil alih pengurusannya sejak Januari lalu.

Pelaburan itu bertujuan mentransformasikan projek berkenaan menjadi program bersepadu dengan tumpuan diberikan kepada ternakan udang harimau, sekali gus mengangkat kawasan tersebut menjadi zon pengeluar udang terbesar terutama di Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER).

Ia mempunyai sebanyak 226 kolam dengan setiap satu berkeluasan 0.8 hektar melibatkan kawasan keseluruhan kira-kira 400 hektar.

Sebelum ini, projek yang dimulakan pada 1993 itu pernah mengalami pasang surut, termasuk terpaksa menghentikan operasi pada 1997 ekoran tentangan yang diterima daripada sesetengah pemilik tanah.

Bagaimanapun, projek tersebut telah diteruskan semula pada tahun 2000 tetapi pemilikan pemegang sahamnya juga turut berubah.

Menerusi pelaburan berkenaan, Blue Archipelago akan melaksanakan program pengubahsuaiannya termasuk membaiki dan menaik taraf kolam sedia ada, membina loji memproses udang, menyediakan kemudahan-kemudahan penetasan benih serta meningkatkan sistem operasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Blue Archipelago, Dr. Shahridan Faiez berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan perkembangan dan pencapaian fasa pertama untuk mentransformasikan projek ternakan itu.

Menurutnya, syarikat berkenaan telah berjaya menuai hasil udang pertamanya baru-baru ini sejak mengambil alih pengurusan ladang udang berkenaan kira-kira 11 bulan lalu.

"Syarikat mengunjurkan hasil pengeluaran udang harimau sebanyak 500 tan metrik dengan hasil jualan sejumlah RM7.5 juta pada penghujung tahun ini.

"Jumlah itu disasarkan meningkat kepada 1,500 tan metrik setahun dengan hasil jualan kira-kira RM42 juta apabila ia beroperasi sepenuhnya mulai tahun depan," katanya ketika melawat tapak Projek Ternakan Udang Bersepadu itu di sini baru-baru ini.

Menurut Shahridan, hasil pengeluaran udang daripada usaha yang dijalankan itu secara langsung akan memberi impak positif kepada peningkatan pengeluaran komoditi akuakultur negara.

Pada masa sama, katanya, ia akan membantu menambah pendapatan penduduk setempat selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada mereka.

Jelasnya, sehingga kini 99 peratus daripada 216 kakitangan di ladang ternakan udang ini terdiri daripada penduduk setempat dan dijangka lebih banyak peluang perkerjaan akan wujud apabila loji pemprosesan udang bernilai RM20 juta siap pada Jun tahun depan.

"Selepas loji pemprosesan ini beroperasi, hasil tuaian udang termasuk yang dibekukan juga akan dipasarkan secara terus," ujar beliau.

Blue Archipelago juga yakin menerusi penggunaan teknologi moden dan kepakaran yang ada, syarikat berkenaan akan memperoleh hasil tuaian udang yang berkualiti dan berdaya maju untuk dieksport.

Malah mutu udang yang diternak oleh syarikat itu juga akan ditingkatkan dari semasa ke semasa melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan.

Justeru, jika projek yang pernah mencetuskan kontroversi ini dijalankan dengan penuh dedikasi dan bijak, tidak mustahil hasrat Blue Archipelago untuk menjadikan kawasan Kerpan sebagai zon pengeluar udang harimau terbesar di wilayah ini bakal menjadi kenyataan.

oleh:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1218&pub=utusan_malaysia&sec=Utara&pg=wu_01.htm&arc=hive

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia