Pages

Search This Blog

UMS hasilkan kerapu hibrid

Bidang akuakultur semakin penting sejajar dengan matlamat meningkatkan sumber makanan negara menerusi pertanian dan perikanan. Lebih menarik ia telah dikenal pasti menjadi sektor pengeluaran makanan yang paling pesat berkembang dengan kadar pertumbuhan 10 peratus setahun. Peningkatan dalam permintaan makanan laut serta hasil tangkapan perikanan yang semakin berkurangan telah mendorong penerokaan bidang ini. Justeru, banyak pihak tampil menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan pengeluaran ikan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Antara agensi yang terlibat dalam penyelidikan berkaitan akuakultur ialah Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan akuakultur di institut tersebut bermula sejak tahun 1995, yang ketika itu hanya dikenali sebagai Unit Penyelidikan Marin Borneo sejurus selepas penubuhan UMS. Pada bulan Jun 2000, unit tersebut dinaik taraf menjadi sebuah pusat kecemerlangan dan dikenali sebagai IPMB.
Akuakultur merupakan bidang keutamaan IPMB. Ia didorong oleh permintaan makanan laut yang meningkat dan kepentingannya kepada ekonomi negara seperti yang terkandung dalam Dasar Pertanian Negara. Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi) institut terbabit, Dr. Sitti Raehanah Muhamad Shaleh, antara sumbangan terpenting IPMB kepada industri akuakultur negara ialah penyelidikan dan penghasilan ikan kerapu hibrid. ''Ikan kerapu menjadi keutamaan kerana kepentingan ekonomi dan terdapat jurang antara bekalan dan permintaan,''katanya. Kata beliau, pengurusan induk adalah aspek yang paling penting dalam kajian penghibridan ikan kerapu. Induk daripada dua spesies iaitu kerapu harimau dan kerapu gergasi dipelihara sehingga matang. Bagaimanapun, pembiakan aruhan melalui penggunaan hormon HCG atau human chorionic gonadotropin juga dijalankan untuk mematangkan telur. Hormon pada dos 500 IU/kg diberikan kepada induk betina melalui suntikan interperitoneal pada dasar sirip pektoral ikan. Telur ikan kerapu harimau yang telah matang kemudian dikutip melalui kaedah pelurutan perut ikan.

Telur yang terkumpul di dalam mangkuk plastik kemudian disenyawakan dengan sperma daripada kerapu gergasi yang telah dikumpul lebih awal menggunakan alat pengumpul sperma yang khas. Perkembangan telur yang tersenyawa akan dipantau sehinggalah menetas. Larva ikan yang baru menetas akan dipelihara dengan teliti dengan memberikan makanan hidup seperti rotifer bermula dari hari ke-2 selepas menetas sehingga hari ke-20. Artemia kemudian diberikan sehingga usia 45 hari selepas menetas dan diikuti dengan pemberian makanan rumusan (aqua feed) apabila telah mencapai peringkat juvenil. Pemberian makanan rumusan seawal mungkin adalah penting untuk melatih anak-anak ikan untuk menerima makanan rumusan berbanding ikan baja khususnya apabila kelak dilepaskan ke dalam kolam-kolam atau sangkar-sangkar ternakan. Hasil kacukan merupakan sasaran penyelidikan intensif untuk sebarang tanda-tanda heterosis (atau vigor hasil kacukan) iaitu keupayaan hasil kacukan untuk mengatasi sifat-sifat tertentu induk ikan. Parameter yang menjadi tumpuan istimewa adalah tumbesaran, fleksibiliti pengadaptasian, kemandirian dan kematangan awal yang boleh membawa kelebihan dalam bidang akuakultur.

Bagaimanapun, disebabkan oleh mekanisme-mekanisme genetik yang kompleks dan interaksi rumit antara alam persekitaran dan gen-gen, satu kajian lanjutan diperlukan untuk menjawab persoalan mengenai kelebihan praktikal pengacukan ikan kerapu. Kajian mengenai ciri-ciri morfologi menunjukkan bahawa hasil kacukan ini mempunyai sifat keturunan yang paling rapat dalam generasi pertama. Namun, hasil kacukan tidak menunjukkan keseragaman antara satu sama lain. Penanda molekular dihasilkan untuk penggunaan dalam kajian kepelbagaian populasi mengenai genotip induk ikan dan hasil kacukannya. Hasil kacukan akan ditapis berdasarkan ujian-ujian kecergasan dan pembentukkan hubungan di antara ciri-ciri yang dikehendaki yang diwakili oleh fenotip dan penanda molekular yang mewakili genotip. Pendekatan kajian yang dijalankan termasuklah pemencilan turutan DNA yang unik tanpa mengorbankan spesimen. DNA diekstrak dari cebisan sirip, diperbanyakkan dengan menggunakan primer PCR multipleks diikuti dengan pengklonan dan PCR turutan amplikon. Penanda turutan telah disimpan ke dalam GenBank.

Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0503&pub=utusan_malaysia&sec=Agrobiz&pg=ag_01.htm&arc=hive

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia