Pages

Search This Blog

Lebih 75,000 pengunjung hadir NS Agro-Biotek

SEREMBAN Ekspo NS Agro-Biotek 2008 yang berakhir baru-baru ini telah mencatatkan jumlah pengunjung melebihi 75,000 orang sepanjang lima hari ia berlangsung di tapak lama Kem Paroi di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat berkata, penganjuran itu juga telah berjaya mencatatkan jualan tunai hasil produk berjumlah melebihi RM7.8 juta.

''Kejayaan penganjuran ini disebabkan komitmen yang tinggi daripada para peserta yang terdiri daripada pengusaha, penternak, petani dan nelayan, selain 16 jawatankuasa yang diwujudkan bagi memantau program dan aktiviti sepanjang ekspo ini berlangsung," kata beliau di sini.

Kata Yunus, konsep baru dalam penganjuran di mana pendedahan mengenai peranan bioteknologi bagi menjana transformasi pertanian, nyata menarik perhatian ramai pengunjung untuk melaksanakan sektor pertanian dalam konsep moden.

''Kerajaan yakin ekspo ini juga merupakan medan perdagangan bagi penjual dan pembeli hasil pertanian, pencipta teknologi dan pembekal perkhidmatan," ujar beliau.

Sementara itu, Yunus memberitahu, kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada projek pembangunan berasaskan pertanian seperti pengwujudan Zon Industri Akuakultur (ZIA), Pusat Feedlot Negara (NFC), taman kekal pengeluar makanan, ladang kontrak, ladang rakyat serta memperkasa industri asas tani.

''Projek yang dirancang ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara serta mengurangkan kebergantungan bahan import," tegas beliau.

Kata beliau, walaupun negeri ini berada di luar kawasan jelapang, usaha juga sedang dilakukan oleh kerajaan negeri bagi memastikan sasaran 40 peratus keperluan negeri dapat dicapai pada 2012 melalui projek peningkatan pengeluaran padi.

''Dalam akuakultur pula, tumpuan memperluas ternakan udang harimau dan ikan ketutu sedang giat dilakukan selain penanaman sayur organik," jelas Yunus.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia