Pages

Search This Blog

Projek LKIM: Utamakan penduduk setempat

MELAKA 6 Nov. - Projek-projek pembangunan tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) seluas kira-kira 100 hektar di Sungai Rambai perlu diberikan keutamaan kepada penduduk setempat untuk mengusahakannya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman berkata, kuota atau peratusan tertentu perlu ditetapkan kepada mereka yang menyertai projek pembangunan bagi aktiviti akuakultur itu, pada masa depan.
''Kita tidak mahu masyarakat luar seperti mereka yang datang dari luar negeri Melaka menguasai projek ini manakala penduduk Sungai Rambai dan orang Melaka sendiri berputih mata," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian Negeri, Datuk Mohammad Hidhir Abu Hasan berkata, perkara tersebut akan dikemukakan kepada Jabatan Perikanan negeri untuk makluman dan tindakan sewajarnya.
Katanya, kerajaan negeri yakin projek pembangunan akuakultur yang bakal dilaksanakan itu kelak bakal memberikan manfaat kepada penduduk setempat terutama dalam menyediakan peluang pekerjaan.
Ini kerana, katanya, menerusi projek fasa pertama yang dijalankan di kawasan yang sama pada tahun 1997, seramai enam penduduk kampung di situ diberi pekerjaan namun pada masa ini, hanya seorang sahaja yang masih bekerja di situ.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah dimaklumkan oleh Jabatan Perikanan negeri mengenai kelewatan LKIM mengerakkan pembangunan projek tersebut dan penjelasan mengenai kelewatan itu akan dibuat dalam masa terdekat.
Menjawab soalan tambahan Datuk Tahir Hassan (BN-Paya Rumput), Mohamad Hidhir berkata, LKIM memerlukan tanah di kawasan itu bagi menggerakkan projek akuakultur yang dirancang oleh agensi tersebut sejak beberapa tahun lalu
Katanya, usaha itu seiring dengan dasar jabatan itu yang menjadikan kawasan Sungai Rambai sebagai zon akuakultur dan bagi merealisasikan hasrat itu, kementerian yang berkaitan sedang melaksana strategi tindakan yang perlu untuk melaksanakannya.

Utusan Malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia