Pages

Search This Blog

Teknologi beku sel sperma ikan


Bidang akuakultur menjanjikan suatu yang lumayan bagi mereka yang berminat menceburinya dengan syarat mempunyai kemampuan modal, pengetahuan dan mengetahui strategi untuk menakluk pasaran.

Tambahan pula bidang tersebut yang dahulunya popular sebagai ternak air sudah menjadi aktiviti ekonomi sejak sekian lama di negara ini.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010), akuakultur disenaraikan dalam Projek Berimpak Besar (HIP) menerusi Zon Industri Akuakultur (ZIA) dengan komoditi utamanya seperti udang, ikan, udang laut, kerang-kerangan dan rumpai laut.

Daripada segi penyumbang berasaskan komoditi, ikan air tawar merupakan yang kedua terpenting selepas kerang-kerangan.

Pada tahun lalu kira-kira 96,000 tan metrik ikan air tawar bernilai RM485.6 juta dihasilkan oleh kira-kira 23,926 penternak membabitkan 17,000 hektar kawasan ternakan.

Jumlah tersebut merupakan 23 peratus daripada pengeluaran akuakultur atau enam peratus daripada keseluruhan 1.545 juta tan metrik dan spesies utama yang diternak ialah tilapia, keli, patin, kap cina.

Dengan peningkatan perkapita akuakultur meningkat daripada 3.3 kilogram (kg) pada 1985 kepada 7.9 kg pada 2005, angka tersebut sepatutnya menjadi satu khabar gembira kerana secara tidak langsung, industri tersebut menunjukkan sedang bergerak ke arah yang lebih positif.

Namun di sebalik beberapa kejayaan industri akuakultur khususnya spesies ikan air tawar, masih banyak kekangan untuk menjadikannya benar-benar berdaya maju.

Satu daripada masalah utama ialah kekurangan benih ikan air tawar terutama spesies-spesies yang popular di kalangan penternak.

Ini dapat diketahui daripada keluhan penternak berhubung masalah tersebut.

Sebagai jabatan yang bertanggungjawab dalam pembangunan bidang akuakultur, Jabatan Perikanan telah mengambil beberapa langkah sebagai respons kepada rungutan pengusaha yang kekurangan benih ikan dan satu daripadanya ialah memanfaatkan teknologi pembiakbakaan.

Sebagai contoh, teknologi pengkrioawetan sperma yang berupaya menyimpan sel sperma untuk jangka masa panjang adalah wajar dikembangkan dalam sektor perikanan.

Pengkrioawetan sperma iaitu teknologi penyimpanan sperma dalam suhu lampau sejuk dalam cecair nitrogen (-196 darjah Celsius).

Menerusi teknologi ini, kemandirian sel sperma masih dapat dipelihara untuk jangka masa panjang, dengan penyelenggaraan yang betul dan mantap.

Teknologi pengkrioawetan bukan sesuatu yang baru dalam sektor pertanian dan penternakan khususnya haiwan ruminan, tetapi ia adalah sesuatu yang baru dalam perikanan di Malaysia.

Teknologi ini amat berguna dalam pembangunan repositori germplasma (bank sperma) bagi spesies terancam dan juga untuk pembangunan akuakultur secara lestari.

Teknologi tersebut telah dilaksanakan oleh Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (PPPAT) Glami Lemi, di Jelebu Negeri Sembilan sejak 2006 dengan kerjasama Pusat Pengembangan Akuakultur Perlok, Pahang.

Kajian tersebut dimulakan oleh Pegawai Penyelidik PPPAT Glami Lemi, Chew Poh Chiang dan Zulkafli Abd. Rashid dari pusat tersebut.

Menurut Poh Chiang, pengkarioawetan sperma merupakan sebahagian daripada projek penyelidikan di bawah program penyelidikan RMK-9 pusat tersebut.

Penyelidikan telah dilakukan dalam ikan temoleh dan kelah pada 2007 dengan berjaya membiakkan kedua-dua spesies daripada sperma yang telah disimpan secara krioawet selama lima bulan.

"Kejayaan ini cukup memberangsangkan dan juga menandakan selangkah lagi Jabatan menuju ke arah untuk mewujudkan bank sperma krioawet dalam konteks pemuliharaan spesies terancam kepupusan secara ex-situ,'' katanya ketika ditmui pada majlis perasmian PPAT Glami Lemi di Jelebu, Negeri Sembilan, baru-baru ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Rohani Abd. Karim. Turut hadir Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub.

Sehingga ke hari ini, percubaan pembiakan ikan dengan sperma krioawet telah dilaksanakan enam kali dan empat kali masing-masing bagi temoleh dan kelah sejak November 2007.

Kini hasil kajian masih mendapati keupayaan persenyawaan telur oleh sperma krioawet bagi kedua-dua spesies adalah lebih rendah berbanding menggunakan sperma segar. Begitu juga dengan peratus penetasan telur.

Namun begitu, peratus persenyawaan dan penetasan telur oleh sperma krioawet telah meningkat sebanyak sepuluh kali ganda berbanding hasil kajian awal pada 2007.

Oleh itu, keupayaan sperma krioawet menghasilkan benih temoleh dan kelah merupakan pencapaian yang cukup membanggakan.

Walaupun dengan peratus persenyawaan telur dan penetasan yang lebih rendah, benih yang dihasilkan oleh sperma krioawet adalah sihat dan menunjukkan perkembangan dan tahap keaktifan yang tiada bezanya dengan benih yang terhasil daripada sperma segar.

Dengan kejayaan tersebut, pusat tersebut lebih yakin dalam usaha pembangunan dan aplikasi teknologi pengkrioawetan sperma ikan untuk pemuliharaan spesies ikan terancam dan juga kemajuan industri akuakultur.

Sebagai gambaran awal, kajian tersebut mempunyai prospek cerah dan kajian akan diteruskan dan difokuskan dalam mempertingkatkan peratus persenyawaan dan penetasan telur menggunakan sperma krioawet sehingga mencapai yang setanding dengan penggunaan sperma segar.

Ikan kelah dan temoleh merupakan spesies ikan yang dikaji oleh PPPAT buat masa ini. Spesies yang akan dikaji pada masa hadapan ialah patin buah, tengalan dan kerai.

Sementara itu menurut Zulkafli, setakat ini peratus kejayaan ialah 36 peratus dan apabila mencapai 45 peratus, pihaknya boleh menawarkan sperma tersebut kepada penternak.

"Penternak perlu berkursus dengan kami dulu bagaimana menggunakan sperma ikan ini," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

OKU miliki 17 kolam ikan air tawar

PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya

Utusan Malaysia