GTE sedia khidmat nasihat kaedah bela ikan dalam kolam kanvas MUNGKIN ramai tidak menyedari ikan keli Afrika mempunyai nilai pasaran yang tinggi bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara dan boleh menjana pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial. Ramai yang berminat menjadi penternak keli tetapi mengeluh kerana sukar mengusahakannya berikutan tiada kawasan untuk membina kolam ternak.Kini, alasan tiada tempat tidak boleh digunakan lagi kerana kaedah penternakan moden dan lebih mudah menggunakan kolam kanvas tanpa memerlukan kolam digali sudah diperkenalkan yang memudahkan aktiviti itu disertai sesiapa saja. Malah, kaedah terbaru itu membolehkan keli diternak di kawasan kediaman seperti di belakang rumah atau kawasan tertentu yang memudahkannya diuruskan setiap hari. Di Negeri Sembilan, usaha menternak keli dalam kolam kanvas diteroka syarikat Bumiputera, Gagu Ternak Enterprise (GTE) yang beroperasi di Senawang, Seremban sebagai pengusaha dan menyediakan khidmat nasihat kepada orang lain yang berminat menceburi bidang terbabit.
Ketika ditubuhkan pada 2004, GTE lebih menjurus kepada penternakan lembu, tetapi peningkatan kos menyebabkan aktivitinya berubah kepada penternakan ikan keli Afrika sejak awal tahun lalu. Pengarah Projek, Roslan Mohamad Nor, 52, berkata keputusan itu diambil selepas menyedari potensi besar penternakan ikan keli Afrika yang mendapat permintaan tinggi orang ramai sebagai makanan harian. "Projek penternakan keli Afrika kami mula menampakkan hasil April lalu apabila seorang pengusaha dari Kampung Gagu, Jelebu menyertai aktiviti ini, diikuti dua lagi dari Kuala Pilah dengan jumlah keseluruhan 28 kolam," katanya. Menurutnya, modal asas diperlukan bagi memulakan bidang itu kira-kira RM20,000 untuk menyediakan tapak bagi empat kolam kanvas lengkap dengan sistem air termasuk kos makanan dan benih ikan keli sebanyak 14,000 ekor yang akan dibekalkan GTE.
"Melalui modal sebanyak itu, sudah boleh memulakan projek dan kami akan membantu memastikan projek berjalan baik serta mampu meraih keuntungan. Selain membekalkan peralatan dan benih ikan, pengusaha akan dibimbing dan dilatih dari segi pengurusan makanan, penjagaan serta pemasaran ikan," katanya. Beliau berkata, setiap kolam boleh memuatkan 4,000 ikan yang akan membesar sehingga mencapai berat 200 gram seekor dalam tempoh tiga bulan sebelum dipasarkan. Bekas penyelia kanan sebuah syarikat swasta itu berkata, biasanya berat gabungan lima ekor ikan keli Afrika mencecah satu kilogram yang boleh dijual pada harga RM8 sekilogram pada ketika ini. "Ini bermakna setiap pengusaha berpeluang meraih antara RM3,000 hingga RM4,000 bagi empat kolam yang bersaiz 20 x 40 kaki. Jangan bimbang mengenai kadar kematian anak ikan kerana setakat ini ia hanya sekitar 10 peratus. "Selaku pihak bertanggungjawab terhadap pengusaha, kami akan memastikan mereka mematuhi peraturan dari segi menyediakan makanan ikan dan proses pertukaran air kolam untuk memastikan tumbesaran ternakan tidak terbantut," katanya. Roslan berkata, GTE memerlukan kira-kira satu tan ikan keli Afrika seminggu untuk dipasarkan di seluruh Negeri Sembilan, sekali gus berusaha melantik lebih ramai lagi pengusaha menjayakan projek itu dengan mengadakan kursus berkaitan untuk menampung permintaan terhadap hidupan air itu. "Baru-baru ini, kami mengadakan kursus di Kolej Komuniti Jelebu disertai 37 peserta dari Negeri Sembilan dan Melaka. Sehingga awal Julai, syarikat sudah menandatangani perjanjian dengan 52 peserta yang berhasrat untuk melaksanakan projek ini," katanya. Mengenai pengusaha yang tidak mampu menyediakan modal awal, Roslan berkata, GTE sudah menghubungi agensi kerajaan seperti Mara untuk membantu pengusaha, tetapi maklum balas daripada agensi itu dijangka diketahui tidak lama lagi. "Projek ini berdaya maju kerana ada pengusaha mampu meraih sehingga RM4,000 sebulan. Matlamat kami adalah menggalakkan seramai mungkin mengusahakan projek ini kerana ia berpotensi besar, mudah diuruskan serta risiko rendah, manakala permintaan semakin meningkat terutama daripada peniaga ikan keli salai," katanya.
Oleh Mohd Amin Jalil
bhnews@bharian.com.my
Search This Blog
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
OKU miliki 17 kolam ikan air tawar
PEKAN 26 Okt. - Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.
Itulah perumpamaan yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang kurang upaya yang kini memiliki sebilangan kolam ikan air tawar hasil usahanya dalam bidang akuakultur di Kampung Tanjung Pulai di sini sejak lapan tahun lalu.
Dengan hanya berbekalkan modal permulaan sebanyak RM1,200 dan sebuah kolam ikan air tawar pada tahun 2000, Mohd. Khairi Othman, 31, yang kudung kedua belah tangan dan kaki sejak lahir, kini bergelar usahawan yang mempunyai 17 kolam ikan air tawar.
Lebih mengagumkan, Mohd. Khairi yang berkerusi roda dan terpaksa mengesot memasuki ladang ternakannya, mampu menguruskan kolam tersebut bersendirian dan meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan.
''Aspek penjagaan harian seperti memberi makanan dan pemantauan saya lakukan sendiri.
''Bagaimanapun, saya akan mengupah beberapa pekerja untuk mengangkat ikan dari kolam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kampung itu, baru-baru ini.
Mohd. Khairi yang masih bujang berkata, dia bertekad memulakan projek ternakan ikan air tawar tersebut apabila menyedari kekurangan yang ada pada dirinya dan berasa perlu melakukan sesuatu demi memperbaiki taraf hidupnya.
''Saya mula menimba pengalaman dengan membantu salah seorang saudara saya menguruskan kolam ikan air tawar miliknya di sebuah kawasan berdekatan kampung ini.
''Sejak itu minat timbul dan dengan bermodalkan RM1,200 serta sebuah kolam ikan yang dipinjamkan oleh saudara saya itu pada tahun 2000, saya memulakan perniagaan sendiri," katanya.
Mohd. Khairi memberitahu, ketika ini kolam ikannya mampu mengeluarkan lebih 600 kilogram ikan talapia dan patin bagi setiap lima bulan.
Menurutnya, pasaran ikan air tawarnya tertumpu di pasar-pasar basah di daerah ini selain orang ramai yang datang terus ke ladang ternakannya itu.
Ditanya mengenai rancangan masa depan, dia bercadang menambah kolam ikan sedia ada, sekali gus meningkatkan hasil pengeluarannya.
Tambahnya, kekurangan pada diri bukan halangan untuk maju dalam bidang yang diceburinya itu sebaliknya menganggapnya sebagai cabaran.
''Saya berpegang kepada prinsip bahawa setiap kekurangan pasti ada kelebihan," tegasnya
Utusan Malaysia

No comments:
Post a Comment